Istiqomah cabaran paling besar hidup

By mamalinablog - April 23, 2019



Kita sapu-sapu habuk dalam blog ni, apa khabar pembaca mamalinablog, lama betul kita tak bersua kata, tengok pada statistik trafik yang menjunam macam payung terjun, ralat sikit rasa dalam hati. Blog yang dibina bertahun makin suram kelam akibat diri sendiri.

Inilah cabarannya jadi penulis blog, dari sepenuh masa menjurus ke separuh masa menulis, sudahnya sekarang jadi suku masa sahaja, Aduhai mamalinablog sibuk dengan keluarga, dalam kepala cuma fokus pada anak, suami, saudara mara dan sahabat handai, kadang-kadang terlupa diri sendiri. Paling teruk terlupa tanggungjawab dan amanah akibat tak istiqomah dalam aktiviti harian hidup. Banyak buang masa.

Banyak berfikir, akhirnya melemahkan tindakan. Bukan tak nak proaktif jadi mama ''superwoman'', tapi diri ini memang tak layak. Banyak kelemahan yang belum mampu diatasi, banyak lompong dalam menunaikan amanah jadi isteri taat, mendidik anak supaya berakhlak soleh solehah, menelefon mak dikampung setiap hari tanda anak mengenang budi, semuanya berjalan tersangkut-sangkut ada masa buat, ada masa tinggal berangan mat jenin.

Aishh...berat betul rasanya mendidik diri sendiri supaya amanah dalam menunaikan amanah, jauh di sudut hati Allah sahaja tahu kalau boleh mahu masuk poket doraemon minta alat sakti, "alat bantuan SUPERMAMA!!" menjerit macam suara Doraemon tersepit. Kartun kegemaran zaman kanak-kanak, mesti tunggu setiap pukul 7 petang, biasanya memang kena hambatlah dengan mak suruh  mandi. Mak.... Long sayang mak.

Tabik 'spring' mama sedunia yang dah memegang jawatan 'superwoman' bukan mudah nak jadi wanita serba boleh serba tahu, serba tangkas. Urus bisnes sendiri, urus anak dan suami tanpa pembantu, itupun masih mampu tersenyum riang tiada keluh kesah, sabarnya ya Allah, sangat hebat mereka. Siapa kata wanita begini tiada atas muka bumi ini, wujud tapi bukanlah mamalinablog.

Begitulah hidup, setiap kita tak sama, mungkin ada sedikit serupa, tapi tetap berbeza. Kita diuji dari Maha pencipta, kekurangan diri adalah ujian, suka atau tidak kita mesti mengharungi hidup di dunia yang indah ini. Menggapai istiqomah dalam kehidupan juga bukanlah perkara yang mudah, jatuh bangun dan cabaran yang perlu dilalui contohnya sekadar mencukupkan solat lima waktu sehari pun belum tentu semua orang mampu menunaikan.

Namun itu bukan alasan untuk kita tidak terus istiqomah meneruskan hidup, menunaikan amanah kepada Allah swt, kepada keluarga. Tiadalah sia-sia setiap usaha kita untuk istiqomah, kerana Allah swt lebih mengetahui warna hati kita melebihi kita mengenali diri kita sendiri. Terus berjalan berbuat kebaikan walaupun dalam serba kekurangan, bukankah Allah itu ya Basir...Maha melihat apa yang telah kita lakukan. Malahan Allah juga ya Rahman yang Maha Penyayang.

Semoga kita mendapat rahmat Allah swt atas kasih sayangNya.












  • Share:

You Might Also Like

0 Comments