Cerpen Ramadan khas untuk Pembaca Blog Sufi MS



SAMBAL TEMPE IKAN BILIS


“Air!!!, air mana air?” Alin bersut kepedasan, “Siapa punya sambal tempe ni, terbakar lidah aku, pedasnya!” ngomel Alin lagi. Suria terkekek ketawa melihat gelagat sahabatnya yang sedang kepedasan. Macam beruk kena belacan terdetik dibenak fikirannya. Dia tersenyum lagi.
“Mak aku yang buatlah, memang pedas tapi sedap”. Ujar Suria. “Aku yang suruh buat pedas,pedas, baru terangkat”. sambil mengangkat kening ala ziana zainnya itu.


Alin menjeling Suria geram, “Kot ye pun bagitaula awal-awal, ko memang nak kenakan aku ye!” Jerit Alin belum sempat jarinya singgah di pinggang sahabatnya itu, Suria lari sambil ketawa.


“Makan free nasibla ye!” seloroh gadis kurus itu.


Dua sahabat tergocoh-gacah pagi itu ke kelas kuliah. Sakit perut Alin masih terasa penangan daripada sambal tempe pedas Suria yang di makan masa berbuka puasa semalam. Pedas tapi sangat sedap, tempe dan ikan bilis yang digoreng rangup, beserta kacang tanah dan kentang dipotong nipis yang juga rangup bersalut dengan kuah cili kering, memang memancing selera untuk berbuka puasa dirantau orang. Setiap Ramadan sambal buatan ibu Suria itulah yang ditunggu-tunggu. Sampai naik bosan penjaga kaunter urusan pelajar yang terpaksa mengadap muka dua sahabat ini yang asyik bertanya “Bungkusan untuk saya dah sampai bang?”, sambil buat muka kasihan.


“Yaya, ko jadi tak nak raya kat kampus tahun ni?” Soal Alin hambar. “Ko, tahun lepas janji nak raya dengan aku kat sini, tapi ‘last minute’ ko balik juga tinggalkan aku beraya sorang”. Terselit riak duka di ayat sahabatnya itu.


“Alin, sorrylah aku bukan sengaja, ko taukan mak aku paksa rela aku balik juga tahun lepas, siap dah belikan aku tiket kapal terbang lagi, tak akan aku tak balik kot,” ujar Suria pada teman karibnya itu.


Rasa bersalah suria masih terkesan kerana terpaksa mungkir janji pada sahabat karibnya itu untuk beraya bersama. Suria amat faham mengapa Alin sangat berharap dia dapat beraya bersama di kampus, sebagai anak yang berasal dari rumah kebajikan beraya bersama sahabat baik merupakan sesuatu yang amat bermakna buat Alin. Bukan suria tak mengajak Alin beraya bersamanya di kampung tahun lepas, tapi Alin tidak mampu membeli tiket kapal terbang yang berharga ratusan ringgit hanya dengan berbekalan duit yayasan untuk menampung hidup sebagai pelajar di bumi Labuan yang indah.


“Weh ko ni Alin, puasa baru tiga hari ko dah pikir pasal raya!” ejek Suria mengusik sahabatnya itu.


“Memanglah, aku fobia sebab ko tinggalkan aku tahun lepas beraya kat pulau ni sorang-sorang”. Ujar Alin serius sambil menjelingkan matanya.


“Eh, bukan ada penyu hensem temankan kau ke?” Suria menyakat lagi sambil ketawa kecil. Mulutnya muncung sambil membuat gaya penyu berenang.


“Mana ada,pandailah kau ye!” Marah Alin sambil tersenyum simpul.


Langkah mereka semakin laju supaya cepat sampai ke bilik, masing-masing terbayang keempukan katil, tidak sabar untuk merehatkan badan setelah dua jam di dewan kuliah. Petang ini pula perlu hadir ke kelas tutorial selama 1 jam. Kesibukan sebagai siswi membuatkan masa yang berlalu terasa singkat. Sedikit masa lagi sahaja mereka akan berbuka puasa semula. Sambal tempe ikan bilis setia menanti di dalam balang.


******


“Aku nak cari keluarga aku la,” tiba-tiba alin mengomel dalam perjalanan pulang dari masjid selepas solat tarawih.


“ Erm,,,ko ada info pasal keluarga kau ke?” Soal Suria.


“Ada sikit, aku pernah salin satu alamat dalam fail peribadi aku masa kat asrama dulu, nama dan alamat orang yang hantar aku ke rumah kebajikan, tak pastilah saudara aku ke orang luar,” ujar Alin sambil memeluk kemas beg telekung didadanya.


“Kau tak pernah ‘contact’ orang tu ke?” Suria bertanya lanjut.


“Tak pernah, tak terfikir pula...”, jawab Alin, raut wajahnya sedikit kesal. Ada riak duka disitu.


“Kalau macam tu ko hantar kad raya pada orang tu, sambil tanya, kot-kot dia tahu asal usul ko?” Ujar Suria lagi bersemangat. “Aku cadangkan ko hantar kad raya Boboiboy, cakap kat situ kalau tak nak bagitahu siapa keluarga ko, ko bagi keris petir sedas!”, ujar Suria sambil mengangkat tangannya seperti budak sekolah rendah.


Alin ketawa kecil sambil mengeleng kepala melihat gelagat sahabatnya itu. Dia tahu Suria sengaja buat lawak bodoh supaya dia ceria semula, itu yang membuatkan rasa sayang pada sahabatnya itu tidak ada galang gantinya. Terbayang masa kali pertama berjumpa Suria, mereka ditempatkan sebilik. Orangnya tiada, tapi ada 3 buah komik di atas katil yang yang belum dipasang cadar dan dua buah beg besar tersadai di bucu katil. Ketika Suria melangkah masuk, terkejut besar Alin melihat rambut Suria yang pendek ala ‘GI Joe’, menyangkakan budak lelaki telah masuk ke biliknya. Salam yang dihulur beserta senyuman manis baru menampakkan keperempuanannya. ‘Hai, saya yaya dari Johor,’ salam bersambut ‘Saya Alin dari KL,’.


****


Hari minggu, hari yang ditunggu-tunggu hampir semua penghuni kampus. Bazar Ramadan di bandar menjadi lokasi utama para siswa dan siswi mencari makanan yang idamkan. Boleh dikatakan pelbagai juadah berbuka puasa berasal dari semenanjung seperti Laksa,nasi kerabu, nasi minyak ada dijual.. Kebanyakan penjual juga di kalangan isteri askar-askar yang berasal dari semenanjung yang rajin berniaga sambilan semasa di bulan Ramadan.


“Kak berapa sebungkus laksa ni?” soal Alin kepada penjual.
“RM3.50 je dik,” Jawab perempuan separuh usia itu sambil tersenyum.
Alin meletak semula bungkusan laksa di atas  meja.
“Kenapa tak beli?” Soal Suria pada Alin.
“Taknak la, aku nak cari nasi lemak,” ujar Alin sambil tertinjau-tinjau gerai yang lain.
Suria segera mencapai bungkusan laksa lalu membayarnya.
“Nah, aku belanja ko” sambil tersenyum dia menghulur bungkusan laksa kepada sahabatnya itu. Dia tahu Alin sangat menggemari laksa dan dia pasti sahabatnya itu tidak cukup wang untuk berbelanja lebih.
“Eh tak apalah Yaya, aku taknak la,dah banyak kali ko belanja aku” Alin menolak.
“Kata ‘bestfren’, Suria mencebik merajuk.
“Yalah, Terima kasih belanja aku lagi” Alin mengambil bungkusan laksa sambil tersengih kegembiraan.


Lorong antara gerai makin sesak dengan orang ramai yang mula berkunjung mencari juadah berbuka puasa.


“Kau ada nak beli apa-apa lagi tak yaya?” Soal Alin. “Kita nak berbuka kat mana erk, aku rasa tak sempat nak balik berbuka kat kampus,” ujar Alin yang agak kepenatan bersesak.


“Takda apa dah,“ Jawab Suria. “Ya lah, memang tak sempat ni, sepuluh minit je lagi nak berbuka, jomla kita cari ‘port’ ,” Suria mendahului Alin ke depan sedikit. “Eh tu nampak macam ada geng kampus kita berbuka kat depan dataran, duduk sana je la ya,”  Langkah Suria semakin laju.


“Suyaya,alin,,jom lah buka pusa sama-sama!,” Laung seorang pelajar lelaki apabila melihat mereka semakin hampir.


“Sesedap rasa je tukar nama orang ya abang nizam,” seloroh Suria sambil menjeling teman sefakultinya itu.


Nizam tersengih sambil membuka ruang untuk mereka duduk. Kelihatan Ana, Sally dan teman sefakulti yang lain juga ada bersama juadah masing-masing siap sedia untuk berbuka, kebiasaannya jika tidak sempat mencari tempat berbuka, dataran Labuan itu lah menjadi tempat berbuka.Berbuka puasa beramai-ramai memang menyeronokkan walaupun sekadar di atas dataran berbumbungkan langit yang cerah di sore hari.


*****


“Sorryla Alin tak dapat temankan ko beraya lagi tahun ni!” Suria memeluk erat sahabatnya di lapangan terbang petang itu.


“Takpalah Yaya,apa boleh buat bukan kau sengaja,mak ko kan sakit sekarang,” ujar Alin mengerti.


“.Itulah aku pun tak sangka, kalaulah mak aku tak masuk wad, aku tak balik lagi, aku mesti temankan kau Raya kat sini!” Nada suara Suria masih lagi memujuk.


“Yaya, ko jangan risau pasal aku, kat sini kan ramai penyu hensem yang boleh teman aku beraya!” Alin berseloroh membuatkan Suria berasa lega melihat temannya itu ceria. “Nanti kalau kad raya boboiboy aku dibalas, aku bagitahu kau eh!,” Ujar Alin.  Suria mengangguk lalu digenggam erat tangan sahabatnya itu.


“Oklah, aku jalan dulu, flight dah panggil”, ujar Suria sambil menolak trolinya menuju ke ‘boarding pass’. “Selamat Hari Raya Alin, minta maaf banyak-banyak ye kalau aku ada tersakitkan hati kau!” Ujar Suria sayu. Sahabatnya itu bagaikan adik beradiknya sendiri, sementelah dia anak tunggal, Alin telah dianggap seperti saudara kandung sendiri.


“Akupun sama Yaya, dah sampai call aku tau!” ujar Alin, saat melambaikan tangan airmatanya bergenang, melihat sahabatnya berlalu pergi.


*****
‘Yaya, aku dah jumpa, dah jumpa...’ Alin bergegas berlari anak ke bilik mendapatkan telefon bimbitnya untuk memberitahu berita yang ditunggu-tunggu kepada sahabatnya itu. Sepulang dari pejabat urusan pelajar  dirasakan bagaikan terlalu lama hendak sampai ke bilik. ‘Ish, pasal la aku tertinggal henfon pulak waktu penting macam ni’ desis hati Alin sendirian. ‘Yaya aku tak sabar nak bagitau kau’ desis hatinya lagi.


“Tut,,,tut,,,tut,,,nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi!” Alin mengeluh hampa. ‘Ya Rabbi, masa ni pula dia tutup henfon, Yaya ‘on’ la henfon kau....,’ kesabarannya makin hilang, ditelek setiap nombor panggilan yang ada di telefon bimbitnya ‘yang mana nombor telefon rumah Yaya ni..ha ni dia’,


“Tut,,,tut,,,tut,,,tut,,,Assalamualaikum ya nak cakap dengan siapa?” terdengar suara jawapan dihujung panggilan.


“Yaya ada makcik, eh makcik dah sihat ke?, maaf saya alin ni..,” Ujar Alin tidak sabar.


“Bukan nak, makcik ni jiran dia, mak arwah masih kat hospital lagi!”, sayup terdengar suara di belakang bacaan orang mengaji.


“A...pa...? Ar...wah..., siapa yang arwah makcik? Bagaikan petir menyambar kepala, Alin terpaku,lututnya longlai. ‘mesti aku mimpi ni, mustahil...Yaya..’


“Ya nak, Yaya dah tak ada, kereta arwahnya berlanggar subuh tadi masa nak pergi melawat maknya di hospital, ayahnya selamat,” terdengar esakan kecil di hujung talian.


Dunia gelap gelita,pandangan kabur,tidak percaya dan airmatanya bercucuran bagaikan tidak tahu berhenti. ‘Yaya...kau dah tak ada ke,,,Ya Allah betul ke ni? kenapa ko tinggalkan aku...Yaya...’


*****


“Mama, pedas sangatlah sambal tempe ni, Yaya tak tahanlah, nak air!”


“ Pedas barulah sedap, tak abis ke? bagi pada Tokngah sambal tempe tu,” ujar Alin kepada puterinya yang berusia lima tahun.


“Mari sayang bagi Tokngah abiskan ya,” ujar nenek tua ibu saudara Alin yang berjaya ditemui setelah terpisah berpuluh tahun dahulu.


“Nah, Tokngah, tapi Yaya nak ikan bilis tu,yang lain-lain Tokngah boleh ambil” ujar puteri sulung Alin yang dinamakan sempena nama sahabat baiknya Suria Adni yang telah mengadap Illahi di saat dia menerima berita paling gembira dalam hidupnya.


~Salam Alin, aku tahu stok sambal tempe kita mesti dah habis kan, mesti kau rindu nak makan sambal tempe pedas mak aku ni, so apa lagi jangan membazir ya, habiskan tau,kalau tak mampu abis, sedekahkanla pada penyu hensem yang mana kau berkenan, hihihi~


Rindu selalu,
Yaya


Nota, itu dilipat kemas tersisip bersama sebalang sambal tempe yang diposkan oleh Yaya buat kali terakhir untuk dirinya. Setiap kali membaca nota usang itu air mata alin berguguran lagi, tiap itu juga terdetik di hatinya ‘rindu selalu yaya...semoga dirimu damai di sana, kaulah sahabatku dunia akhirat’.


TAMAT

Karya Asal: Sufi MS ©

2 Comments

  1. as salam..cerpen yg menarik..ada bakat menulis..sayu baca kisah ni.teruskan menulis ye..

    ReplyDelete
  2. Ini komen yang berharga dari seorang yang lebih mahir tentang bahasa Melayu!:)Terima kasih sahabat!

    ReplyDelete