Ajar Anak Solat Jemaah

By mamalinablog - September 28, 2011



Siapa disini yang memang amalkan solat berjemaah sekeluarga di rumah? Terus terang rasanya susah nak jumpa keluarga yang amalkan solat berjemaah. Mama sendiripun sampai sekarang gagal nak istiqamahkan anak sendiri supaya solat berjemaah setiap hari.

Mana nak jadikan, bila kita suruh anak solat jemaah cuma dengan laungan saja,

"Aliman, solat maghrib, ajak sekali Jaji, Ahmad solat jemaah, jadi imam....solat jemaah banyak pahala tahu tak!

Laungan seorang mama yang sedang terbongkang atas katil kepenatan selepas sibuk memasak dan uruskan adik kecil umur 2 tahun mandi manda dalam 'toilet' hampir 45 minit. Mama yang melaung macam komander askar tu pun belum solat maghrib, tapi mengarah anak macam bagus sangatkan.

Sambil tu tangan sempat lagi gedik 'scroll' henfon sambil laung lagi sekali, '"dah solat ke belum?!'

Sudah macam mana kepimpinan melalui tauladan itu kita nak terap dalam diri anak-anak, betul tak?

Kita bacalah puluhan buku panduan mendidik anak, tetapi selagi kita tak mampu tunjuk tauladan yang baik pada anak, tak akan mungkin anak-anak akan istiqamah buat amal ibadat seperti yang kita harapkan.

Oleh itu mama, para ibu sekalian marilah kita berubah berfikir sampai bila kita nak ajar anak hanya dengan laungan. Memang bukan senang nak ubah tapi kalau betul kita nak anak kita berubah, yang perlu kita ubah adalah diri kita sekarang.

Jadi macam mana? Mahu ataupun tidak...untuk Ajar Anak Solat Jemaah


1# Kita ibu bapa mesti bangkit menjadi Imam solat berjemaah dengan anak-anak dirumah

Waktu siang biasanya susah nak dapat waktu, jadi kita boleh gunakan waktu maghrib dan Isyak untuk solat berjemaah sekeluarga. Sebelum maghrib pastikan anak-anak dah siap mandi dan bersedia untuk solat maghrib.

Lepaskan henfon di tangan tu, kalau anak ramai mesti sediakan satu jam sebelum masuk waktu maghrib untuk siap sedia solat jemaah. Bukan susah sangat kan...suruhlah anak pergi mandi, mesti mereka dengan senang hati masuk bilik air mandi. Mengarut!

"Anak saya senang je mama suruh mandi, tak payah jeritpun",

Alhamdulillah rezeki puan, apapun tak semua anak ini sama.

Percayalah mama semua, tak semudah itu bila kita suruh anak mandi, maka dengan segeralah mereka masuk mandi macam anak itik pulang petang.

Hakikatnya kita memang kena bersedia mental dan fizikal untuk hadapi peristiwa perang masuk mandi ini sekurangnya 40 hari awal latihan persediaan untuk ajar anak solat berjemaah. Kadang-kadang disebabkan anak-anak yang bermalasan nak mandi petang, puas disuruh boleh sebabkan mood kita akan 'down' nak bawa anak solat berjemaah.

Tolong mama, kuatkan semangat! bangun paksa rela anak-anak, cuba cakap dengan lembut bernada tegas....''mandi sekarang!" sebab kita nak sedia untuk solat maghrib berjemaah. Cakap didepan anak bukan laung dari bilik disamping henfon ditangan....

TAPI...

Mama dah penat, dari pagi belum rehat urus rumah, dan anak kecil selagi berjaga akan menyepah, tak dapatlah nak pandu anak solat jemaah sama-sama....

Mama dah penat balik kerja dari pagi sampai rumah dah maghrib, tak dapatlah nak solat jemaah sama-sama...

Jangan susah hati, bagi mama suri rumah sepenuh masa simpan tenaga sebelah petang untuk aktiviti malam. Mama yang bekerja pula, cari peluang waktu isyak, kalau tak mampu juga cuba usahakan waktu cuti untuk latih anak solat jemaah bersama. Dari tak buat langsung, ada jugakan memori yang pasti terpahat dalam ingatan anak hingga anak besar nanti.

Yang penting niat kita untuk latih anak solat jemaah ada dalam hati. Niat yang baik, percayalah insha Allah sedikit sebanyak akan terpaku juga dalam jiwa anak-anak.

Pstt...Cuma mama sahajake yang kena ajar anak solat jemaah, bukan patut bapanya ke??

Lebih baik kita fokus pada pembangunan diri sendiri yang ada amanah untuk didik anak, sebab kubur kita dengan suami lain-lain,

Untuk para bapa ramai ustaz diluar sana yang dah beri tazkirah supaya jadilah pemimpin keluarga yang berwibawa. Kau buat, kau dapat.

Setiap kita dituntut Allah swt atas amanah masing-masing, sekurangnya bila Allah tanya

"kenapa anak tak suka solat jemaah?''

Kita sudah ada jawapannya..:)


2# Cerita Kelebihan Solat berjemaah kepada Anak

"Baik anak-anak, solat jemaah banyak pahala, lagi banyak pahala dari solat seorang. Jom kita solat!"

Serius mama macamtu saja kita terangkan pada anak kelebihan solat jemaah? Boleh aje kalau kita nak cakap pada anak macam tu, cuma menarik minat anak-anak untuk solat jemaah ataupun tak, Jadi macam mana kita nak terangkan pada anak kelebihan solat jemaah.

Sebolehnya kita ambil masa lepas solat, duduk bersama anak-anak dan ceritalah pada anak,

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya :” Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”
Riwayat Muslim (1509)

Allah suka kita solat berjemaah, Nabi pun dalam hadis baginda ada sebut,

وَإِنَّ صَلاَةَ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ وَحْدَهُ ، وَصَلاَتُهُ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ مَعَ الرَّجُلِ ، وَمَا كَثُرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللهِ تَعَالَى
Maksudnya : "Solat seorang lelaki bersama lelaki yang lain lebih elok dari solat secara bersendirian. Dan solatnya bersama dua orang lelaki lebih elok dari solat bersama seorang lelaki. Dan lebih banyak itulah yang paling disukai oleh Allah SWT.”
Riwayat Abu Daud (554)

Kalau solat jemaah dekat masjid lagi dituntut terutama bagi orang lelaki, nabi ada juga sebut dan bagi amaran pada orang lelaki yang malas solat jemaah dimasjid, 
لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَتُقَامَ ثُمَّ أُخَالِفَ إِلَى مَنَازِلِ قَوْمٍ لَا يَشْهَدُونَ الصَّلَاةَ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ
Maksudnya : "Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan kemudian aku akan pergi kepada setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka.”

Biasakan cerita tentang hadis kepada anak, sebab panduan hidup kita sememangnya wajib berpandukan Al-Quran dan Hadis Sohih s.a.w sahaja.


3# Sediakan Ruang Solat dan Pakaian yang sesuai untuk anak menunaikan solat

Memang agak mencabar jika keadaan rumah sempit untuk solat berjemaah, masa inilah peranan kita para mama untuk ubah suai ruang rumah dapatkan semaksimum mungkin ruang untuk kita dapat solat berjemaah bersama anak-anak.

Kurangkan hiasan yang tak berfaedah atau perabot lama boleh dibuang jika fungsinya hanya memenuhi ruang rumah dan mengumpul habuk. Supaya kita dapat sediakan ruang solat yang lebih selesa.

Kalau rumah berdekatan surau atau masjid serta selamat untuk keluar berjemaah tentulah lebih baik. Tapi bagi yang ada anak kecil bawah 2 tahun memanglah sukar untuk bawa anak ke surau atau masjid.

Walaupun halangan yang ada, kita cubalah buat sehabis baik dan semampunya. Kalau tak berjaya jangan bersedih hati, tetaplah nasihat anak-anak solatlah bersungguh-sungguh disekolah, sebab dirumah kita tak ada ruang dan peluang untuk solat jemaah bersama terutama bagi keluarga besar anak ramai.

Begitupun boleh sahaja mama berjemaah dengan mana-mana anak ikut sistem giliran walaupun ruang solat sempit.

Cuma sayang kalau rumah kita besar dan luas tapi tak dihidupkan dengan amalam solat jemaah, itu lebih merugikan.



4# Solat berjemaah pengikat kasih sayang Anak

Mama yang dah biasa solat berjemaah dengan anak-anak, jangan lupa setiap kali bersalaman lepas solat, peluk dan ciumlah dahi anak-anak. Anak-anak akan ingat samapai akhir hayat, sebab itulah masa kita paling dekat dengan anak.

Bukan semua mama yang jenis peluk anak 24 jam, ada juga mama yang malu nak peluk anak sendiri tertutama anak yang dah remaja. Masa inilah untuk kita guna peluang mendekatkan kembali kasih sayang, manalah tahu dalam diam anak banyak terluka kerana kata-kata kita semasa marah.

Tolong mama, kita bukan sempurna dan sentiasa betul. Kadang-kadang kita sendiri sedar, kesalahan anak tak sepadan hukuman yang diterima, minta maaflah pada anak dan terutama kepada Allah s.w.t, manalah tahu jika pembalasannya dari Allah anak semakin degil tak dengar kata.

Kita fikir kerana sebab anak memang degil, rupanya akibat dari dosa kita yang tersalah didik. Semoga Allah swt mengampunkan dosa kita dan kita sentiasa diberi hidayah pertunjuk dalam jaga amanah mendidik anak.

Katakanlah, saya dah buat macam-macam usaha, tapi anak tetap liat keropok lekor masuk angin, taknak juga solat berjemaah bersama, sabarlah wahai mama, pegang prinsip hidup ini diuji bukan sebab kerana dosa sahaja, tapi ada juga ujian untuk naikkan darjat kita akhirat nanti..jangan kita putus asa, syurga menantimu....

Sematkan juga dalam hati Allah ya Alim, lebih Mengetahui kenapa mengapa kita diuji dengan anak, sebab Allah lebih tahu kelemahan yang ada dalam diri kita itu apa. Teruskan berdoa....









  • Share:

You Might Also Like

0 Comments